Masih jadi ingatan | Harian Metro

Malaysia


Tiga tahun lalu, penyanyi popular Ernie Zakri dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi duet bersama Syamel dalam lagu Aku Cinta pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32).

Kemudian, pada AJL 34 lalu, Ernie, 28, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri kembali memberi saingan menerusi lagu Ku Bersuara.

Walaupun gagal mendapat sebarang tempat atau pemenang kategori, persembahan hebat dengan lantunan vokal mantap Ernie kekal diingati sehingga kini.

Bagi edisi kali ini, menerusi separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35), Ernie mempertaruhkan dua lagu iaitu Gundah dan duet bersama Syamel, Takkan Terlerai.

Gundah yang juga menyaksikan Ernie selaku komposer dan penulis lirik bersama Sharon Paul akan bertanding malam ini dan lagu Takkan Terlerai, Ahad ini. Lagu duet itu juga adalah ciptaan bersama Sharon Paul dan Syamel serta lirik bersama Fedtri Yahya.

Ernie berkata, dia gembira apabila kedua-dua lagu itu mendapat perhatian peminat dan pendengar selain akan cuba memberikan persembahan yang terbaik.

ERNI gembira dengan sambutan
ERNI gembira dengan sambutan

“Kalau mahu cakap tertekan atau tidak, memang tak. Alhamdulillah, pendengar suka dengan kedua-dua lagu ini. Saya berasa gembira sebab ramai memberikan perhatian terhadap dua lagu ini. Syukur sangat.

“Tetapi, macam biasa dalam pertandingan harapan mesti ada untuk buat yang terbaik. Cuma, saya tak letakkan harapan tinggi sebab nanti takut kecewa kerana kita tahu dalam pertandingan macam-macam boleh terjadi termasuklah keadaan dan cara nyanyian kita. Jadi, apa yang boleh difikirkan sekarang adalah berikan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai lagu yang menjadi pilihannya untuk mara ke peringkat akhir AJL 35, Ernie mengakui kedua-dua lagu mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri.

“Secara peribadi, kalau boleh nak kedua-dua lagu ke AJL. Sebab kedua-duanya saya terbabit sama sebagai komposer dan penulis lirik.

“Dalam masa sama, tentu saja saya pun teringin nak bersama Syamel di pentas AJL. Kiranya nak berduet dan bekerjasama kembali selepas kali terakhir lagu Aku Cinta. Jadi, kalau boleh nak dua-dua masuk. Insya-Allah kalau ada rezeki, adalah,” katanya.

Menurut Ernie, sepanjang minggu ini dia cuba mencari waktu untuk berehat dan menjalani latihan selepas melalui jadual kerja yang padat minggu lalu.

“Dari segi persediaan, Alhamdulillah. Memang jadual agak padat minggu lalu. Selepas terbabit konsert Lazada 11.11 dan ABPBH 33, minggu ini saya kena memberi fokus pada SFMM 35 pula.

“Alhamdulillah, mungkin sebab lagu Gundah dan Takkan Terlerai sudah biasa dinyanyikan masa persembahan. Cuma, untuk pertandingan perasaan lain sikit. Macam biasa, setiap kali ada pertandingan, kena jaga kesihatan, latihan sendiri-sendiri dan luangkan masa untuk perbaiki setiap kelemahan dalam lagu untuk berikan terbaik,” katanya.

Persembahan diingati

Bukan sekali, tapi sudah banyak persembahan secara langsung Ernie mendapat pujian dan perhatian peminat bahkan orang dalam industri muzik.

Malah, kebanyakan video persembahan Ernie itu menarik perhatian beberapa YouTuber luar negara dengan memberikan reaksi pada persembahan itu.

Terbaharu, duet Ernie bersama Hafiz Suip yang menyanyikan lagu-lagu Francissca Peter pada malam Anugerah Bintang Popular BH ke-33 lalu sekali lagi diperkatakan pengguna laman sosial dan sensasi YouTube luar negara.

Selain memuji, ramai yang mahukan Ernie dan Hafiz merakamkan lagu duet.

“Saya sangat mengagumi abang Hafiz sebab dia penyanyi yang hebat dan bagus. Kerjasama diberikan sangat baik. Sewaktu latihan, kami banyak berkoumunikasi dan dapat maklum balas komunikasi sangat baik. Alhamdulillah, ramai suka persembahan kami.

“Perancangan duet buat masa masih tidak ada, sebab saya banyak perancangan single lain termasuk duet bersama Syamel. Tapi, saya tidak akan menolak jika ada tawaran untuk bekerjasama semula dengan Abang Hafiz. Cuma, untuk single dan projek lagu belum ada.

“Lagi pula syarikat rakaman saya dan Syamel sudah ada perancangan lain. Jadi, kena fokus satu persatu. Tapi, tidak salah kalau dapat bekerjasama dengan penyanyi lain. Seronok sangat apabila peminat dan pendengar menyukai persembahan kami tempoh hari,” katanya.

TIDAK meletakkan harapan tinggi dalam AJL ke-35, janjikan persembahan terbaik.
TIDAK meletakkan harapan tinggi dalam AJL ke-35, janjikan persembahan terbaik.

Mengulas mengenai kegagalan pada ABPBH 33, Ernie menganggap ia bukan rezeki selain menyifatkan anugerah itu terletak kepada usaha dan kegigihan peminat untuk mengundi.

“Mungkin apabila bercakap mengenai ABPBH, ia adalah anugerah daripada peminat. Siapa peminat yang tak putus mengundi dapatlah rezeki. Jadi, pada saya menang atau tidak, itu belakang cerita. Apa yang penting kita memang tahu bersama-sama kita adalah penyokong yang setia, baik dan menyayangi kita. Itu yang paling penting.

“Bagi saya kalau menang itu adalah bonus dan rezeki. Tapi, pada akhirnya pencapaian itu terhasil apabila dapat puaskan hati peminat. Saya bukan tak perlukan anugerah, sebab bagi saya setiap manusia perlukan penghargaan. Tentu saja apabila sudah buat yang terbaik, kita nak penghargaan daripada pendengar. Jadi, saya bukan tidak memandang anugerah. Saya sangat memandang anugerah. Sebab buat apa kita buat yang terbaik,” katanya.

Ernie berkata, tidak ada sebab untuk dia berasa lemah semangat dan berputus asa apabila setiap kali tewas.

“Cuma, saya tidak terlalu mengejar dan teringin sangat nak menang sehinggakan kalau tak menang saya ‘down’. Ia tidak. Terutama macam ABPBH, ia anugerah peminat kepada artis.

“Kepada artis yang menang, peminat mereka sudah bertungkus lumus. Sama juga macam peminat yang menyokong saya. Saya tahu betapa mereka juga berusaha ke arah itu. Tapi, saya anggap tidak ada rezeki. Jadi, saya hanya bersyukur dengan apa yang ada. Paling penting, saya gembira apabila orang ingat persembahan saya dan Hafiz,” katanya.



Source link

Articles You May Like

Tiga kereta mewah RM750,000 pula disita SPRM
Lelaki maut alat pemadam api meletup depan rumah
Lukisan bermesej, sindiran Dr Arisman [METROTV]
Bunuh bapa tegur main telefon
Seorang berbohong, satu negeri ‘lockdown’